Followers

_Nur Amirah Ishak_

My photo
đź’«Juru bekamđź’«Penulis & penterjemahđź’«Perunding Takaful Ikhlas Berhad & Shaklee đź’«Kaki Travel (◕‿◕✿)

Thursday, July 12, 2018

A.M.S.D

Image result for bismillah

"Nak pergi mana tu?"

Juli terhenti langkah dan terus berkalih. Wajah sahabatnya, Hasnidah, dipandang kosong.

"Bermalam sahajalah di rumah aku ni. Aku dan mak aku je ada di rumah ni pun. Macamlah kau tak biasa, kan?" Hasnida tersenyum mempelawa. Juli tidak menyahut. Dia seperti itu juga. Diam dan termenung jauh. Sudah puas dipujuk untuk berkongsi rasa, tetapi, Juli tetap berdiam diri.

"Kau kata kau bercuti seminggu di sini. Knowing you, kan Juli, kalau kau tiba-tiba nak bercuti panjang begini, pasti ada sesuatu yang telah terjadi ni. Aku tak kisah kau tak nak cerita dengan aku, tapi, bermalamlah di sini. Esok, kau nak ke mana pun aku tak larang kau. Jimat sikit belanja kau duduk hotel sana tu," sambung Hasnida lagi.

"Terima kasih, Nida. Tapi aku rasa, aku perlukan masa sendiri malam ini. Esok, kalau aku dah okey sikit, aku lepak rumah kau. Aku bukan apa, aku tak rasa nak jumpa orang untuk beberapa hari ini. Aku nak bersendirian. Risau nanti dengan mood aku begini, aku akan bertindak di luar kawalan pula. Kecil pula hati mak kau lihat aku terperuk je dalam bilik," terang Juli sebaiknya.

Hasnida menyentuh pipi Juli dengan tangan kanannnya. Juli kaget. Hasnida melebarkan senyumannya. "Baiklah, kalau itu yang kau mahu, aku tak boleh nak paksa. Tapi, jangan dibiarkan diri itu terlayan dengan perasaan hati kau. Bahaya bersedih terlalu lama. Nanti akan makan diri kau juga." Hasnida seolah-olah memahami mimik muka suram Juli yang memberi tanda sedang dilanda kesedihan tika itu.

Juli tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja Hasnida berkata begitu. Bercucuran air mata mengalir laju. Tersendu-sedan seolah-olah sudah lama menahan rasa sedih itu 

Ya, itulah tujuannya bercuti dan bertemu dengan Hasnida, satu-satunya sahabat yang dia sayang. Dia mahu meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya pada Hasnida. Tetapi, saat melihat wajah polos Hasnida yang sentiasa tersenyum itu, hatinya berbolak-balik untuk meneruskan hasratnya itu. Dia tidak mahu membebankan jiwa sahabatnya dengan mendengar luahan hatinya yang terlalu kebudak-budakkan itu.

Hasnida terus memeluk Juli seeratnya. Diusap-usapnya belakang sahabatnya itu perlahan. 

"Aku sayang dia, Nida. Aku sangat sayang dia. Ya, memang aku terasa hati sangat dengan apa yang dia buat. Aku sabar je selama ni, Nida. Dia ingat aku ni apa, Nida? Aku manusia, Nida. Aku ada hati. Aku ada perasaan," esakkan Juli semakin kuat. Sungguh-sungguh dia menangis dalam pelukan Hasnida.

"Syyhhh. Dah, jangan nangis," Hasnida cuba memujuk.

"Aku tak tahulah dia tu saja atau memang bersungguh. Aku rasa sakit sangat kat dalam ni."

"Juli..." Hasnida meleraikan pelukannya perlahan-lahan. Mata Juli merah berair. Hasnida mengesat sisa air mata yang masih mengalir di pipi.

"Dalam perhubungan ini, memang akan ada ranjau durinya. Kematangan, toleransi, kesefahaman adalah kunci yang perlu ada dalam menjayakan sesuatu perhubungan itu. Aku tahu dia punyai salah satu kekurangan yang aku sebutkan tadi. Tapi, semua kita ada kekurangan diri masing-masing. Aku faham dan tahu kau sangat sakit. Kalau aku kat tempat kau pun, aku akan sakit juga. Belum punyai ikatan yang sah, sudah boleh ditolak sana-sini sesuka hati."

"Tapi Juli, satu baiknya dia, adalah dia cepat mengakui kesalahannya dan dia belajar dari kesilapan itu. Itulah proses pembelajaran buat diri dia untuk menjadi lebih baik untuk kau. Aku tahu kau sakit, dan, aku rasa dia pun sakit sama. Sebabnya, aku dapat lihat dia juga sayangkan kau sangat-sangat. Cuma, caranya itu yang salah. Aku tak menyokong mana-mana pihak, aku cuma menyampaikan pendapat aku sahaja," sambungnya lagi.

Juli mendengar dalam teresak. 

"Cuti yang ada ni, kau teruskan berdoa dan teruskan istikarah. Kalau betul kau masih sayangkan dia dan nak teruskan hubungan ini, maafkan dia. Anggaplah kau berdua baru berkenal. Mula balik. Sama-sama susah, sama-sama senang, sama-sama melengkapi. Tapi, jika kau tetap rasa dia bukanlah orangnya, dan hati kau begitu tidak boleh menerimanya lagi, aku nak kau lupakan semuanya yang telah berlaku. Reda dengan ketentuan Tuhan ini. Boleh?" 

Juli mengetap bibir. Semakin sayu dia rasakan. "Aku takut. Takut semua ini akan berulang kembali."

"Sebab itu aku cakap, jadikan semua ini medan pembelajaran untuk kau dan dia. Masing-masing belajar hati budi masing-masing. Mana ada pasangan dalam dunia ini perfect manjang dan tidak diuji? Aku tahu kau boleh. Walau sakit macam mana pun hati kau tu, aku tahu kau memang boleh laluinya, insya-Allah."

"Sudah, jangan menangis dah. Kalau kau nak berteman, kau bermalamlah di sini. Tapi, kalau kau betul perlukan masa sendiri, aku tak halang kau."

"Terima kasih, Nida. Doakan aku ya. Esok aku datang lagi sini."

"Rumah ini sentiasa terbuka untuk kau, Juli.Jaga diri baik-baik."

Juli mengangguk perlahan.

Hasnida menghantar Juli ke muka pintu. Dia turut bersimpati dengan apa yang dilalui sahabatnya itu. Itulah sebenarnya perjalanan hidup yang perlu ditempuhi oleh Juli. Allah berikannya jalan begitu. Dan, pasti Allah telah melengkapkannya dengan kekuatan, ketenangan, ketabahan serta jalan keluar. Setiap kesusahan pasti akan datangnya kemudahan.

TAMAT.

-Mira Ishak, 12 Julai 2018-

0 comments:

 

~ cahayanurish ~ Template by Ipietoon Cute Blog Design